WACANA PENULISAN

1.1  KONSEP WACANA PENULISAN
Perkataan Wacana berasal dari bahasa Inggeris discourse yang membawa maksud     "Kemampuan untuk maju menurut arahan-arahan yang teratur dan tepat. Selain itu, wacana juga boleh dikonsepkan sebagai komunikasi buah fikiran dari segi lisan mahupun tulisan , yang rasmi dan teratur .  Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta percakapan. Dalam bahasa Jawa wacana disebut ‘wocono’ atau ‘woco’ yang membawa maksud baca.  Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat.  Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.
Manakala dalam pengertian linguistik, wacana adalah unit bahasa yang lebih besar daripada perkataan. Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana. Perkataan wacana itu sama dengan perkataan ucapan yang sesuai untuk wacana lisan, dan karangan yang sesuai untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu sebelum ini. Dalam peristiwa komunikasi secara lisan, dapat dilihat bahawa wacana sebagai proses komunikasi antara penutur dan pendengar, sedangkan dalam komunikasi secara tulisan, wacana terlihat sebagai hasil dari pengungkapan idea penulis. Disiplin ilmu yang mempelajari wacana disebut dengan analisis wacana. Analisis wacana merupakan suatu kajian yang meneliti atau menganalisis bahasa yang digunakan secara ilmiah, baik dalam bentuk tulisan atau lisan.
Kesimpulannya, wacana ialah unit bahasa yang melebihi had ayat yang terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab, buku, cerita, dialog, siri buku dan sebagainya yang menunjukkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan. Ringkasnya, wacana ialah satu unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang kukuh dan melebihi batas ayat.